NOH Omar mematuhi SOP dengan mengambil suhu badan di kaunter masuk Masjid Ar-Raudhah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
NOH Omar mematuhi SOP dengan mengambil suhu badan di kaunter masuk Masjid Ar-Raudhah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


"SAYA berpendapat, jawatan itu lebih sesuai untuk tokoh korporat dan pesara politik," ujar Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar berhubung tindakannya meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah MISC Bhd (MISC) pada 17 Jun lalu.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu tidak ada kena mengena dengan isu politik dan beliau akan memberi tumpuan kepada rakyat serta negara yang menghadapi wabak Covid-19.

"Saya berpendapat, jawatan itu lebih sesuai untuk tokoh korporat dan pesara politik. Sebagai Ahli Parlimen yang masih aktif, saya perlu memikirkan khidmat kepada rakyat secara keseluruhan," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Raudhah, Pekan Tanjong Karang, Selangor, tadi.

Noh berkata, beliau menolak jawatan itu dalam keadaan negara dilanda penularan Covid-19.

"Saya perlu memikirkan apa sumbangan yang boleh diberikan bukan sahaja untuk rakyat di Tanjong Karang, malah di seluruh negara.

"Tambahan pula, MISC hanya berorientasikan keuntungan dan fokus kepada syarikat semata-mata," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro semalam melaporkan MISC Bhd mengumumkan Noh yang baru saja dilantik pada 1 Jun lalu telah meletak jawatan, kelmarin.

MISC menerusi satu kenyataan berkata, Noh membuat keputusan untuk meletakkan jawatan selepas berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:08 PM