MOHAMAD Noor Ibrahim bersama Muhammad Hafizi menunjukkan gambar perkahwinan arwah. Gambar kecil adalah arwah Muhamamd Hafizan. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
MOHAMAD Noor Ibrahim bersama Muhammad Hafizi menunjukkan gambar perkahwinan arwah. Gambar kecil adalah arwah Muhamamd Hafizan. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


"ARWAH baru sahaja kehilangan anak sulung selepas isterinya keguguran dua bulan lalu. Sejak kejadian itu, dia banyak mendiamkan diri.

"Malah, sewaktu adiknya (Muhammad Hafizi, 22) berjumpa arwah tiga minggu lalu, dia memaklumkan rindu anaknya selain berpesan supaya menjaga saya dan isteri elok-elok," kata pesara polis, Mohamad Noor Ibrahim, 56.

Mohamad Noor adalah bapa kepada pekerja kedai perkakas, Muhamad Hafizan Mohamad Noor, 26, yang maut akibat digilis treler di Kilometer 41, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, semalam.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan cuba mengelak kereta yang berhenti mengejut menyebabkan dia tercampak sebelum digilis treler.

Bercerita lanjut, Mohamad Noor berkata, Allahyarham yang juga anak ketiga dari empat beradik itu melangsungkan perkahwinannya Disember tahun lalu dan menetap di Kuala Selangor.

Katanya, dia dan isteri, Siti Zubaidah Hamzah, 55, terkejut apabila Muhammad Hafizi memberitahu kejadian itu selepas dihubungi isteri Allahyarham.

"Selepas mendapat perkhabaran pilu itu, saya sekeluarga bersiap dan bergegas ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk melihat jenazah arwah," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Seri Manik, di Tanjong Karang, hari ini.

Katanya, Allahyarham yang bekerja di kedai perkakas sejak 2017 disifatkan seorang yang pendiam dan penyayang selain rapat di kalangan adik-beradiknya.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, dia seperti tidak percaya Allahyarham 'pergi' menemui Pencipta-Nya buat selamanya.

Menurutnya, Allahyarham ada menyatakan keinginan untuk menyambut Aidiladha tahun ini bersama keluarga namun hasrat itu tidak kesampaian.

"Arwah anak yang cukup mendengar kata. Apa sahaja arahan saya, dia akan ikut dan tidak pernah sesekali melawan arahan.

"Anak yang rapat dengan saya, Allah panggil pulang buat selamanya. Sebagai ibu, saya redha dengan ujian Ilahi walaupun sukar terima hakikat ini," katanya.

Jenazah Muhamad Hafizan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Badong, Ijok, kira-kira 9 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:59 PM