KEADAAN Perodua Myvi (kanan) dan Mercedes-Benz C200 (kiri) yang terbabit kemalangan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan.  FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN Perodua Myvi (kanan) dan Mercedes-Benz C200 (kiri) yang terbabit kemalangan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI warga emas dipercayai membunuh diri selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan, Noor Janihan Nanyan berkata, kejadian 2.30 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 66 tahun yang memandu kereta Mercedes Benz C200 dikatakan berhenti di tengah jalan di kawasan kejadian.

Menurutnya, kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 40 tahun tiba-tiba yang melalui laluan berkenaan merempuh bahagian hadapan kenderaan mangsa itu.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan Perodua Myvi tercampak ke dalam parit di kawasan berhampiran, manakala pemandunya maut di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati warga emas yang memandu Mercedes-Benz C200 itu bertindak membunuh diri dengan mengelar leher selepas kemalangan berlaku dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Perodua Myvi juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala,” katanya kepada Harian Metro.

Noor Jahinan berkata, Perodua Myvi berkenaan dikenal pasti datang dari arah Rawang menghala ke Tanjong Karang.

“Mayat pemandu Mercedes-Benz C200 itu kemudiannya diserahkan kepada bahagian jenayah polis bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 1:12 PM