ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah. FOTO ihsan Bomba
Fuad Hadinata Yaacob


Tanjong Karang: Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Harmoni, Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.29 pagi dan 17 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dan BBP Kuala Selangor bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, pihaknya tiba 8.50 pagi dan ketika kejadian hanya ada seorang penghuni di rumah berkenaan namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

"Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur atau belakang rumah itu dan mangsa, seorang wanita berusia 72 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas menyelamatkan diri.

"Api dikawal pada 8.59 pagi dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya sambil menyatakan dua jentera terbabit dalam operasi pemadaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 2:34 PM