ANGGOTA polis mengawal lokasi kemalangan membabitkan lelaki warga emas di pekan Tanjong Karang, hari ini. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis mengawal lokasi kemalangan membabitkan lelaki warga emas di pekan Tanjong Karang, hari ini. FOTO ihsan polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Lelaki warga emas maut selepas kepalanya terhantuk dalam kemalangan di pekan Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan jam 10.16 pagi yang membabitkan motosikal Yamaha SS2 dan Proton Waja.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa berusia 72 tahun dipercayai mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

"Motosikal mangsa kemudian dilanggar Proton Waja yang gagal mengelak.

"Akibat pelanggaran itu, kepala penunggang motosikal terhantuk di cermin kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu arah Klang menghala ke Teluk Intan.

"Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 3:28 PM