KEADAAN pacuan empat roda selepas diseret lori pasir yang mengundur dipercayai akibat masalah brek. FOTO IHSAN JBPM MELAKA
KEADAAN pacuan empat roda selepas diseret lori pasir yang mengundur dipercayai akibat masalah brek. FOTO IHSAN JBPM MELAKA
Hassan Omar


“Saya lihat lori pasir mengundur ke arah kami yang ketika itu berada kira-kira lima meter di belakang tetapi tidak sempat mengelak dan sekelip mata sahaja kenderaan berat itu menghentam pacuan empat roda dinaiki.

“Dalam keadaan kelam kabut itu terasa pikap Nissan Navara dinaiki terseret ke longkang di tepi jalan dan serentak itu juga saya tidak ingat apa-apa sehinggalah ditarik keluar orang ramai,” kata Samsuli Sahal, 50.

Ahli perniagaan itu berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 3.30 petang, semalam, dia dan isteri, Siti Khadijah Harun, 47, dan dua anak, Nur Fatini Aisyah, 15, serta Nur Fatini Umairah, 9, serta cucu mereka, Mohd Akil Darwis berusia lima tahun dalam perjalanan pulang dari pekan Masjid Tanah ke Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Setibanya di persimpangan lampu isyarat Jalan Masjid Tanah-Kampung Jeram, kira-kira tiga kilometer (km) dari pekan Masjid Tanah, kenderaan dipandu Samsuli berada dalam jarak kira-kira lima meter di belakang lori yang berhenti ketika lampu isyarat merah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mereka dalam perjalanan pulang selepas membeli basikal untuk Nur Fatini Umairah tetapi tidak menyangka lori berkenaan menghadapi masalah brek dan tidak mampu bertahan di persimpangan lampu isyarat di laluan berbukit curam.

Katanya, akibat hentaman dan seretan kenderaan berat itu, kenderaan pacuan empat roda dinaiki Samsuli dan penumpang lain diseret kira-kira lima meter ke dalam longkang di tepi jalan.

Bagaimanapun katanya, hanya kecederaan Nur Fatini Umairah agak parah dengan pendarahan dalam kepala dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka manakala Samsuli dan anggota keluarga serta pemandu lori yang berusia 40-an hanya cedera ringan.

Terdahulu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Masjid Tanah berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang menghantar satu jentera dengan tujuh anggota ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi berkenaan, mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan pacuan empat roda.

“Anggota bomba mengeluarkan pemandu lori yang mengalami cedera ringan manakala mangsa lain dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, menurut juru cakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kedua-dua pemandu sudah membuat laporan polis dengan pemandu lori mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:36 PM