PACUAN empat roda milik JPJ terbalik selepas dirempuh lori.
PACUAN empat roda milik JPJ terbalik selepas dirempuh lori.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Serdang: Sebuah pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbalik selepas dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kinrara, Bandar Kinrara di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Rosdi Daud berkata, kenderaan JPJ itu dipandu anggota berusia 30 tahun.

“Kenderaan JPJ itu membunyikan siren apabila tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Namun pemandu lori yang tidak menyedari kehadiran kenderaan itu merempuh pacuan empat roda berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, lampu isyarat adalah merah.

“Disebabkan itu, kenderaan JPJ memasang siren bagi meminta laluan namun tidak disedari pemandu lori berkenaan.

“Kedua-dua mangsa cedera ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:22 AM