ANGGOTA bomba memeriksa mayat pemandu lori balak yang rentung. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memeriksa mayat pemandu lori balak yang rentung. FOTO Ihsan Bomba
Ali Iqbal


Batu Pahat: Seorang pemandu lori ditemukan rentung selepas kenderaan dinaiki kemalangan, membabitkan tiga lori membawa muatan balak berdekatan lampu isyarat Kampung Temehel, Jalan Labis-Yong Peng, Yong Peng, di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira 3 pagi itu menyebabkan Mohd Khairol Nizam Rokazi, 38, maut di tempat kejadian, manakala Mohd Shahril Musa, 27, cedera dan seorang lagi pemandu lori, Mohammad Fathul Syarastani Suhimi , 30, terselamat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sebelum kemalangan berlaku, ketiga-tiga lori balak itu dipercayai dalam perjalanan dari Labis, Segamat menghala ke Yong Peng.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dua lori berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana yang menunjukkan tanda lampu merah, namun tiba-tiba lori dipandu mangsa melanggar bahagian belakang salah satu daripada lori berkenaan.

"Akibat pelanggaran, lori kedua itu bergerak dan kemudiannya merempuh lori pertama di hadapannya. Lori dipandu mangsa terbakar dan lelaki itu gagal menyelamatkan diri kerana tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, operasi memadam kebakaran dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Yong Peng dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

"Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam atau saksi melihat kejadian itu boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng Asyraf Nur Mohd Yusuff berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Yong Peng, Ayer Hitam dan Penggaram ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.14 pagi untuk operasi memadam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:04 PM