FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Shahrinnahar Latib


SEORANG pengusaha kebun sayur di Cameron Highlands menanggung kerugian RM290,606 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai anggota polis memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Chew’ dan ‘Tuan Yong’.

Kejadian berlaku pada 24 April lalu apabila mangsa berusia 54 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa kakitangan Pejabat Pos Malaysia cawangan Kuantan, Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menetap di Kampung Raja itu diberitahu bungkusan miliknya yang mahu dihantar ke Sarawak mengandungi dadah.

“Suspek mendakwa barang kiriman mengandungi dadah itu sudah dirampas oleh pihak polis. Namun, mangsa menafikan dia ada menghantar barang ke Sarawak.

“Talian itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis bernama Sarjan Chew memaklumkan mengenai kesahihan dakwaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan kes, Sarjan Chew menyambungkan panggilan kepada pegawai polis Bukit Aman bernama Tuan Yong.

“Hasil perbincangan, ‘Tuan Yong’ meminta mangsa membuat pindahan wang, kononnya bagi mengelak daripada ditahan pihak polis.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak enam kali ke tiga akaun berbeza bermula 25 April hingga Rabu lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM290,606,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tidak tahan kerana kerap didesak oleh suspek membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kes dadah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang besar.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 11:22 AM