GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

Tampin: Kerani sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM693,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubungi dan mendakwa wanita itu terbabit dengan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali pada 27 Oktober lalu yang membaca nama dan nombor kad pengenalannya dengan tepat.

"Suspek memberitahu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas mangsa kerana terbabit dalam pengubahan wang haram lalu menyambungkan panggilan itu kepada dua lelaki yang mengaku anggota polis dikenali sebagai Sarjan Tan dan Asisten Superintendan Yong.

"Semasa perbualan, kedua-dua suspek bertindak menakut-nakutkan mangsa dan meminta wanita itu membacakan nama pengguna dan kata laluan akaun Public Bank miliknya bagi tujuan mengeluarkan kesemua wang mangsa berjumlah RM363,900," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mereka juga meminta mangsa membayar wang jaminan berjumlah RM260,000 dan bayaran guaman sebanyak RM70,000.

Akibat takut dan panik, mangsa mengikut arahan itu dan bertindak memindahkan semua wang yang diminta ke dalam akaun Public Bank milik suspek selain turut diminta hadir ke Mahkamah Tampin, semalam, untuk bicara kes, katanya.

Aibee berkata, selepas kejadian dihubungi itu, mangsa menerima transaksi pengeluaran wang setiap hari daripada akaun bank miliknya kepada beberapa akaun tidak diketahui serta dimaklumkan pindahan wang itu bagi tujuan audit dan akan dikembalikan semula.

Katanya, semalam, mangsa sekali lagi dihubungi lelaki yang menyamar sebagai polis dikenali sebagai Deputi Superintendan Chew dengan meminta wang jaminan tambahan sebanyak RM135,000 namun mangsa tidak dapat membuat bayaran berkenaan kerana kehabisan wang.

"Mangsa yang menyedari diperdaya terus membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya jika menerima panggilan sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 11:33 AM