Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Wang simpanan guru wanita sebanyak RM36,000 lesap selepas diperdaya dua individu yang menyamar pegawai polis dikenali sebagai Tuan Chong dan Puan Yong selepas didakwa terbabit sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM2.18 juta.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula awal bulan ini apabila mangsa berusia 52 tahun menerima panggilan daripada kakitangan sebuah syarikat insurans dikenali sebagai Natasha Ismail.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa ada membuat empat tuntutan membabitkan kemalangan berjumlah RM76,800.

"Mangsa menafikan perkara itu dan suspek kemudian memaklumkan itu adalah tuntutan palsu dan meminta maklumat peribadi bagi membersihkan nama mangsa.

"Selepas itu, panggilan disambungkan kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dan mangsa dimaklumkan dia terbabit dengan satu kes jenayah iaitu sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM2.18 juta," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dikenali sebagai 'Tuan Chong' dan 'Puan Yong'.

Katanya, suspek meminta mangsa menyimpan nombor telefon itu menggunakan nama lain iaitu Tuan Chong dengan nama Aishah dan Puan Yong sebagai Ani.

Beliau berkata, Jumaat lalu, Tuan Chong meminta mangsa membeli nombor baru supaya mudah untuk dihubungi, selain turut diminta memadam setiap panggilan yang dibuat oleh mereka.

"Suspek turut mengarahkan mangsa supaya 'unlink' akaun dari Bank Islam ke Tabung Haji bagi membolehkan pihaknya menyiasat kemasukan wang haram berkenaan.

"Suspek meminta mangsa untuk menjadikan enam digit awal nombor kad pengenalan mangsa yang dijadikan sebagai nombor pin kad bank ," katanya yang mengugut mangsa supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang membuat semakan akaun Tabung Haji miliknya, semalam mendapati sebanyak RM20,000 lesap, manakala duit di dalam akaun Bank Rakyat sebanyak RM16,000 turut hilang.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam selepas merasakan dirinya telah ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:34 PM