GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

DUA lelaki, seorang daripadanya mempunyai lapan rekod jenayah, ditahan selepas polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan dinaiki mereka di hadapan restoran di Taman Melawati, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Zaid Hassan berkata, dua lelaki yang masing-masing memandu Honda CRV berwarna hitam dan Toyota Vellfire hitam dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan, 6.15 petang semalam.

“Polis mengarahkan kenderaan itu berhenti tetapi mereka sebaliknya mengundurkan kenderaan dan melanggar dua motosikal URB (Unit Rondaan Bermotosikal) dan anggota polis untuk melarikan diri.

“Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan dan mengenai tayar hadapan sebelah kanan dan tayar belakang sebelah kanan Honda CRV, menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar empat kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui parang panjang, dua kunci Allen yang diubah suai, empat batang spanar, lima pemutar skru, tiga pemutar skru panjang, lima batang pemotong, tiga pemutar skru tayar, lima skru bersaiz besar, topeng muka berwarna putih dan sepasang sarung tangan.

Hasil pemeriksaan juga mendapati kedua-dua kenderaan yang dipandu lelaki masing-masing berusia 25 dan 38 tahun itu adalah kenderaan curi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:57 AM