Peralatan curi kenderaan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Peralatan curi kenderaan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bintulu: Polis terpaksa melepaskan tembakan sebelum berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang melarikan diri selepas dikesan cuba mencuri Toyota Hilux di hadapan pusat beli-belah Times Square Megamall, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, suspek berusia 37 hingga 50 tahun dikesan polis dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah Honda CRV.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zailani Amit berkata, polis yang membuat intipan selama 30 minit kemudian menghampiri suspek dan cuba menahan mereka.

Menurutnya, suspek yang cemas memecut Honda CRV menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan tayar depan kenderaan itu.

"Suspek keluar dari kenderaan itu dan berlaku pergelutan dengan polis. Mereka bertindak agresif walaupun diarahkan menyerah diri.

"Mereka akhirnya berjaya ditahan bersama pelbagai peralatan curi kenderaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 6:07 PM