TIMBALAN Ketua Polis Perlis, ACP Noor Mushar Muhammad (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar dan barang rampasan ketika sidang media kes pecah tabung masjid dan menyamar menjadi anggota polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Ketua Polis Perlis, ACP Noor Mushar Muhammad (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar dan barang rampasan ketika sidang media kes pecah tabung masjid dan menyamar menjadi anggota polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Dua remaja berusia 17 dan 19 tahun diberkas polis kerana terbabit dengan 13 kes pecah dan curi duit tabung masjid di sekitar daerah Arau, Kangar dan Padang Besar sejak Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamad berkata, tangkapan keatas kedua-dua suspek dilakukan pada 21 April dan Rabu lalu di kediaman mereka di Chuping, Perlis selepas polis menubuhkan satu 'task force' untuk 'Ops Pintu' bagi menangkap suspek.

"Kita menerima laporan kejadian ini sejak Januari lalu dan hasil siasatan kita selama empat bulan ini berjaya mengesan pelaku jenayah ini yang didapati adalah penganggur dan terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dengan enam kejadian pecah dan curi tabung masjid di Arau, tiga di Kangar dan empat di Padang Besar membabitkan kerugian RM5,000.

"13 masjid yang menjadi mangsa kegiatan jenayah suspek adalah Masjid Gial Mata Ayer, Masjid Kampung Oran, Masjid Guar Gajah, Masjid Kok Klang, Masjid Kubang Gajah dan Masjid Ngulang di kawasan Arau, Masjid Putra, Masjid Abi dan Masjid Kuala Perlis di kawasan Kangar manakala Masjid Bukit Keteri, Masjid Batu Bertangkup, Masjid Chuping dan Masjid Kubang Perun di kawasan Padang Besar," katanya lagi.

Noor Mushar berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek ini akan menyasarkan masjid di kawasan luar bandar yang mana banyak tabung masjidnya diletakkan di luar ruang solat atau beranda masjid.

"Kita percaya mereka ini akan membuat perancangan terlebih dahulu dengan meneliti persekitaran masjid ketika menunaikan solat di kawasan masjid berkenaan sebelum pulang dan sekitar jam 1 hingga 5 pagi kemudian mereka akan kembali ke masjid itu dengan menaiki motosikal sebelum bertindak memecahkan tabung masjid berkenaan sebelum melarikan diri dengan hasil kutipan tabung berkenaan," katanya lagi.

Ketika ditangkap, polis turut merampas peralatan yang digunakan oleh suspek iaitu sebuah motosikal Honda EX5 berwarna biru, tiga batang tukul kuku kambing, dua batang pemutar skru, empat batang paku panjang, sebuah playar pemotong dawai, gam dan satu pita pelekat berwarna hitam.

Kedua-dua suspek kini direman hingga 2 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 3:41 PM