MEGAT menunjukkan kenderaan  yang dirampas daripada Geng Ah Hau.
MEGAT menunjukkan kenderaan yang dirampas daripada Geng Ah Hau.
HM Digital

Serdang: Diwajibkan melapor diri setiap hari di balai polis selepas dikenakan perintah tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Tindakan itu bagaimanapun tidak menghalang seorang penjenayah untuk menubuhkan kumpulan curi kenderaan mewah dikenali Geng Ah Hau yang aktif beroperasi sejak dua bulan lalu.

Malah suspek yang mempunyai 17 rekod jenayah itu menjadi dalang utama kes pecah rumah di Lembah Klang, Kedah, Pulau Pinang serta Perak sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kegiatan itu dilakukan bersama dua lagi rakannya masing-masing mempunyai tujuh dan 10 rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun menurutnya, Geng Ah Hau itu berjaya ditumpaskan apabila polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya memberkas suspek dalam serbuan di sebuah hotel di Chemor, Perak Jumaat lalu

“Hasil tangkapan itu, polis berjaya menemui semula kenderaan Honda CRV, Honda Civic, Toyota Camry, lapan unit kamera, 35 utas jam tangan, lima beg tangan wanita dan barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 yang disorok di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur.

“Operasi mengesan ahli kumpulan Ah Hau itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan kes pecah masuk dan melarikan sebuah kenderaan di Bandar Kinrara di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:46 AM