KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengenai cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menukar status kes kehilangan membabitkan aktivis sosial Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis tidak mempunyai kuasa bagi menukar status siasatan orang hilang terhadap dua individu berkenaan kepada status orang hilang yang dikuatkuasakan sebagaimana cadangan suruhanjaya terbabit.

Katanya, buat masa ini siasatan dijalankan PDRM terhadap dua individu berkenaan kekal sebagai status orang hilang.

“PDRM akan merujuk cadangan itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya kerana polis tidak mempunyai kuasa untuk menukar siasatan sewenang-wenangnya.

“Namun status siasatan dijalankan PDRM juga mungkin boleh berubah pada masa akan datang jika polis menemui sebarang bukti baru membabitkan unsur jenayah dalam kes itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech, di Putrajaya, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tidak timbul isu polis tidak memberi kerjasama terhadap siasatan dijalankan SUHAKAM dan ia adalah tohmahan terhadap pasukan PDRM.

“Kenyataannya, PDRM sudah memberikan kerjasama terhadap siasatan dijalankan suruhanjaya itu lebih daripada setahun.

“Jadi, apabila ada mendakwa PDRM tidak memberi kerjasama, ia satu tohmahan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pembabitan seorang anggota Cawangan Khas Bukit Aman sebelum kedua-dua individu itu dilaporkan hilang, Mohamad Fuzi berkata, individu terbabit juga kini sedang dikesan polis.

“Individu terbabit sudah berhenti daripada pasukan polis dan PDRM sendiri sedang mengesan lokasinya.

“Ia bukan mudah berikutan individu (bekas anggota Cawangan Khas) itu tidak pernah tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Sementara itu Mohamad Fuzi berkata, persidangan APAC PoliceTech itu penting bagi membolehkan PDRM meneliti serta mengenal pasti teknologi akan datang yang boleh digunakan dalam menguatkuasa undang-undang.

Katanya, ia kerana sifat jenayah dan ancaman keselamatan pada masa kini sudah berubah dan semakin kompleks terutama meliputi aspek jenayah keganasan, jenayah siber, komersial dan jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:38 AM