KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) bersama Pengerusi PLUS Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim (empat, kiri) bergambar selepas menerima kenderaan EMPV Polis Mitsubishi Outlander di Persada PLUS hari ini. Foto/BERNAMA
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) bersama Pengerusi PLUS Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim (empat, kiri) bergambar selepas menerima kenderaan EMPV Polis Mitsubishi Outlander di Persada PLUS hari ini. Foto/BERNAMA
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima arahan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap kes kematian Teoh Beng Hock.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, arahan itu diterima dari Pejabat Peguam Negara pada Selasa lalu.

"Selasa lalu, PDRM sudah mendapat arahan bagi membuka semula kertas siasatan terhadap Teoh Beng Hock.

"Jadi, kita akan teliti semula siasatan dan melengkapkannya (kertas siasatan) sebelum menyerahkannya semula kepada pejabat Peguam Negara," katanya dalam sidang media di Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) di Subang Jaya, hari ini.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mayatnya ditemui di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, sehari selepas ditahan oleh SPRM, yang menjalankan siasatan penyalahgunaan wang wakil rakyat di negeri Selangor.

Keluarga Beng Hock kemudian memohon untuk membuka semula siasatan kes berkenaan pada tahun 2011 namun mahkamah menolak permintaan keluarga mereka.

Permohonan sama juga turut dibuat oleh keluarga Beng Hock pada 2014 di Mahkamah Rayuan tetapi turut ditolak.

Sementara itu, mengulas mengenai kes kematian model warga Mongolia, Altantuya Shariibuu, Mohamad Fuzi berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan sudah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 2:47 PM