Mohamad Fuzi (kiri) pada  perlawanan ragbi Piala Camaraderie sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Kem Batalion 4 PGA di Semenyih. FOTO Azhar Ramli
Mohamad Fuzi (kiri) pada perlawanan ragbi Piala Camaraderie sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Kem Batalion 4 PGA di Semenyih. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


“SAYA tidak mahu komen banyak kerana dakwaan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) itu amat mendukacitakan,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Reaksi itu diberi Mohamad Fuzi bagi mengulas tindakan SUHAKAM yang akan menghantar laporan inkuiri awam kepada kerajaan berhubung dakwaan pembabitan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dalam kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor, Raymond Koh Keng Joo.

Mohamad Fuzi berkata, SUHAKAM seolah-olah menghukum Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum sebarang tindakan diambil berhubung isu itu.

“Sepatutnya laporan itu tidak didedahkan kepada umum dan perlu diberikan kepada pihak berkuasa dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perlawanan ragbi Piala Camaraderie sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Kem Batilion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih, hari ini.

Begitu pun, Mohamad Fuzi menjelaskan, PDRM memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh siasatan mengaitkan SB dengan kehilangan Amri Raymond itu.

Katnaya, pihaknya akur dengan arahan pemimpin negara berhubung isu itu dan mempertimbangkan langkah perlu diambil berhubung dakwaan SUHAKAM terbabit.

Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) boleh diwujudkan bagi menyiasat dakwaan bahawa SB terbabit dalam kehilangan Amri dan Raymond.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi SUHAKAM yang mendedahkan kes itu sebelum ini.

Katanya, SUHAKAM diharap dapat mengemukakan laporan lengkap secara rasmi kepada pihaknya yang kebiasaannya sampai kepada Perdana Menteri sebelum dikaji jika ada keperluan tertentu.

Berdasarkan laporan itu, pihaknya boleh membuka semula kes sekiranya diizinkan pihak Pendakwa Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 7:31 PM