Mohd Azam Shah Yaacob


LAPORAN hasil inkuiri awam dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai pembabitan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo dilihat sebagai berat sebelah.

Malah, pengamal Undang-Undang, Datuk Shaharudin Ali berkata, ia juga terkeluar daripada skop bidang kuasanya.

Selain itu, katanya, dakwaan itu boleh mengganggu prosiding kes membabitkan seorang suspek yang didakwa di mahkamah bersama tujuh lagi individu yang masih bebas.

“Suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat siasatan termasuk menghukum dengan menuduh pembabitan PDRM.

“Kehilangan Raymond dan Amri secara nyata adalah kes jenayah penculikan dan bukan kes pelanggaran hak asasi manusia seperti termaktub dalam fasal 5 ke 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Shaharudin berkata, dalam inkuiri itu, SUHAKAM dengan sewenang-wenangnya merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICCPED) yang tidak pernah diiktiraf kerajaan.

Ia termasuk Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) serta nas daripada Mahkamah Hak Asasi manusia Amerika Syarikat (AS).

“Sedangkan SUHAKAM ditubuhkan dibawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia mengikut Akta 597 yang diwartakan bagi membela hak individu tertindas.

“Seterusnya mengikut Seksyen 132(2), jika siasatan SUHAKAM mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia, maka suruhanjaya itu perlu merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa namun malangnya langkah lain diambil,” katanya.

Shaharudin berkata, dia tidak mewakili mana-mana pihak termasuk PDRM, namun sebagai pengamal undang-undang, beliau terpanggil memberikan kenyataan susulan tidak ada pihak tampil membela agensi keselamatan negara itu.

Katanya, kenyataan dibuat bukan kerana kuasa PDRM melebihi undang-undang, sebaliknya ia akan menjejaskan prosiding terhadap suspek yang sedang berlangsung.

“Dalam inkuiri itu SUHAKAM meminta PDRM menukar sudut siasatan daripada kes orang hilang kepada kes kehilangan sedangkan tiada sebarang kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan (KK) diperuntukkan jika ditukar atas kes itu,” katanya.

Khamis lalu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai dipetik berkata, akan menghantar laporan hasil inkuiri awam kepada kerajaan berhubung dakwaan pembabitan Cawangan Khas (E8) Bukit Aman.

Katanya, laporan itu membabitkan 97 bahan bukti dan keterangan daripada 24 saksi bagi kes Amri dan 117 bukti serta keterangan 16 saksi bagi kes Raymond.

Koh, 64, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 7:09 PM