Sungai Kim Kim yang tercemar pada Julai 2019. Foto Arkib NSTP
Sungai Kim Kim yang tercemar pada Julai 2019. Foto Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ibu kepada mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, menyifatkan hukuman dikenakan terhadap dalang pencemaran berkenaan tidak setara dengan penderitaan ditanggung anaknya.

Norlela Abu Hashim, 50, berkata, anaknya, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, sehingga kini menderita Myokymia, iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar dan terpaksa bergantung kepada tongkat, disebabkan terhidu sisa toksik ketika sedang belajar di sekolah.

Katanya, beliau bukan menidakkan kuasa hakim serta mahkamah dalam menjatuhkan hukuman, namun berasakan hukuman itu agak ringan untuk jenayah yang dilakukan dalang berkenaan berikutan tindakan mereka meragut kesihatan anaknya untuk sepanjang hayat.

"Keluarga kami terutama Irfan Wafiy menderita mental dan fizikal apabila terpaksa menanggung kesan penyakit itu yang menyebabkan anggota badannya terutama kaki sering menggeletar dan terpaksa bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

"Irfan hanya mampu berdiri sebentar tanpa tongkat kerana saraf kakinya sehingga kini masih tidak kuat, mudah letih dan menggeletar susulan penyakit Myokymia yang dideritai akibat tragedi toksik Sungai Kim Kim.

"Sebagai ibu saya amat sedih apabila melihat Irfan sehingga kini trauma menyebabkan beliau yang kini aktif bersukan di sekolah kini menjadi pendiam berikutan penyakit dideritainya.

"Berbaloikah hukuman denda yang sudah tentu mereka boleh bayar berbanding dengan penderitaan ditanggung Irfan untuk sepanjang hayatnya ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar (Jas) dalam kenyataan memaklumkan N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

Jas memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Dalam pada itu, penduduk Kampung Bukit Pulai, Hadlisuri Rabu, 50, turut berasakan hukuman terhadap dalang berkenaan tidak berbaloi dengan trauma penduduk kampung.

"Ketika kejadian anak saya, Nana Sofia baru beberapa hari dilahirkan namun terjejas apabila sering batuk dan sesak nafas sehingga terpaksa dirujuk ke HSI untuk rawatan susulan.

"Saya masih ingat lagi, beberapa penduduk berdekatan termasuk jiran yang sarat mengandung pitam ketika kejadian berkenaan menyebabkan suasana panik dan kecoh berikutan ramai yang mengalami simptom sesak nafas dan muntah apabila terhidu bau yang amat busuk dan pekat.

"Walaupun sebelum ini penduduk dijanjikan pembelaan termasuk pampasan kepada mereka yang dirawat di hospital dan kesihatan terjejas, ia berlalu begitu sahaja malah anak saya sudah berusia lima tahun kini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:12 AM