TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


PROSIDING pendakwaan terhadap dua pengarah kilang memproses tayar terpakai yang sepatutnya dijalankan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, petang tadi, terpaksa ditangguhkan akibat masalah teknikal dan kesuntukan masa.

Wang Jing Chao, 34, dan Yap Yoke Liang, 42, masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan bersubahat dengan pemandu lori, N Maridass, 35, kerana melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim sepatutnya dihadapkan lagi dengan 15 pertuduhan setiap seorang, petang tadi.

Kedua-dua tertuduh selaku pengarah kilang dan orang yang disaman (OKS) akan dihadapkan ke mahkamah sama esok, bersama kilang terbabit dan seorang lagi pengarah membabitkan jumlah keseluruhan 60 pertuduhan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hakim Jailani Rahman menangguhkan prosiding pendakwaan itu ke jam 10 pagi esok, berikutan kekangan masa memandangkan Wang dan Yap perlu dihantar ke lokap.

Selain itu, berlaku masalah teknikal memandangkan ia membabitkan jumlah pertuduhan yang banyak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal dan Farra Nor Azura Jumuddin, manakala peguam Maniam Nair mewakili kedua-dua OKS.

Pagi tadi, Wang yang juga warga Singapura dituduh bersubahat dan melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim.

Pada prosiding bermula kira-kira jam 10 pagi itu, tertuduh pertama, Maridass, iaitu pemandu lori didakwa melupuskan buangan terjadual yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam sungai berkenaan dengan menggunakan lori dan semi treler tangki minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tertuduh kedua, Yap yang juga pengarah bersama kilang di Pasir Gudang itu, didakwa bersubahat dengan Maridass dan Wang melakukan perbuatan sama, manakala Wang didakwa secara berasingan bersubahat dengan Maridass dan Yap melakukan perbuatan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yap dan Wang dibaca bersama Seksyen 42 akta sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

  • Berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 8:35 PM