KEADAAN kereta dinaiki empat remaja selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Sitiawan-Sungai Ranggam, Kampung Gajah, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
KEADAAN kereta dinaiki empat remaja selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Sitiawan-Sungai Ranggam, Kampung Gajah, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Noor Hidayah Tanzizi


DUA beradik maut manakala dua rakan mereka cedera termasuk seorang parah selepas Proton Saga yang mereka naiki terbabas dan merempuh treler di Kilometer 22, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Kampung Gajah, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, penumpang belakang, Noor Izmie Shah Anuar, 15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya yang duduk di kerusi penumpang depan, Nor Irwan Shah Anuar,17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

Difahamkan, pemandu kereta berusia 18 tahun yang juga rakan mereka turut cedera manakala seorang lagi rakan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang parah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki empat remaja itu dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala Sitiawan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar bahagian hadapan treler yang diletakkan di bahu kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan penumpang belakang, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan pula disahkan meninggal dunia di HTI pada 9.50 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa lain yang turut cedera dihantar ke HTI untuk menerima rawatan manakala pemandu treler berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua remaja lelaki itu masing-masing dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang dan HTI untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1),Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan menerima panggilan kejadian itu pada 12.50 tengah malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserah kepada polis. Operasi yang diketuai Khairul Azhar Yaakob tamat sepenuhnya pada 1.55 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 3:22 PM