KEADAAN kereta dipercayai dinaiki dua lelaki remuk dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kereta dipercayai dinaiki dua lelaki remuk dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Kampung Kayan di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Zaibidi Muhi, 40, dan Mohd Raimi Rustam, 34, menaiki kereta dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.32 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kereta mangsa dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan manakala treler dari arah bertentangan.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan menyebabkan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang lagi mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi tamat pada 8.18 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 10:48 AM