LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


MANGSA yang parah dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Sitiawan - Teluk Intan berhampiran Batu 14 Lekir di Sitiawan, malam tadi, menghembuskan nafas terakhir pada 12.20 tengah malam.

Mangsa, Ramlah Ahmad, 56, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM).

Dalam kemalangan 9.12 malam itu, kereta dipandu Ramlah bersama dua orang lagi termasuk seorang kanak-kanak, hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.

Penumpang hadapan kereta berkenaan, remaja perempuan berusia 18 tahun cedera di mata kiri, manakala penumpang belakang, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun patah kaki kanan.

Bagaimanapun, pemandu bas berusia 45 tahun bersama 20 penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.10 malam membabitkan kereta dinaiki tiga mangsa terbabit dengan sebuah bas.

“Siasatan awal mendapati Proton Wira Aeroback itu datang dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan manakala bas berkenaan dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memotong kenderaan lain di hadapannya lalu bertembung dengan bas yang datang dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu dan dua penumpang kereta berkenaan dihantar ke HSM untuk rawatan lanjut, namun mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital itu manakala dua penumpang berkenaan masih dirawat di hospital sama.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.14 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati dua mangsa sudah dikeluarkan dan dibawa ke HSM.

“Sementara, seorang lagi masih terperangkap dan parah sebelum pasukan bomba mengeluarkan mangsa itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya, hari ini.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir untuk tindakan lanjut sebelum operasi yang diketuai Tajul Arif Ahmad itu tamat sepenuhnya pada 10.40 malam.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 3:02 PM