FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Teluk Intan: Tiga maut manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan enam beranak itu dirempuh treler di Kilometer 24 Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, Mohd Nazeri Abdul Razak, 45, dan isteri, Norzuwida Ahmad Tarmizi, 41, maut di tempat kejadian.

Zalehah @ Zaleha Ibrahim, 71, iaitu ibu kepada Mohd Nazeri meninggal dunia perjalanan ke hospital.

Sementara itu, tiga anak pasangan itu, Nuramira Shafika, 15; Muhammad Aiman Haziq, 8; dan Muhammad Danial, setahun, cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Chenderong Balai ke Teluk Intan terbabas.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu itu gagal mengawal treler itu dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki keluarga berkenaan.

"Semua jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) manakala tiga yang cedera dirawat di hospital sama.

“Pemandu treler yang tidak mengalami kecederaan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 9:44 AM