KELUARGA mahu pelaku menyebabkan kematian Muhammad Adib dikenakan tindakan. FOTO Arkib NSTP.
KELUARGA mahu pelaku menyebabkan kematian Muhammad Adib dikenakan tindakan. FOTO Arkib NSTP.
Syah Rul Aswari Abdullah


TIADA apa lagi yang mahu dipinta oleh keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim melainkan kematian anggota bomba itu terbela.

Bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, dia mahu mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya diheret ke muka pengadilan.

“Saya mintalah kepada siapa-siapa yang bertanggungjawab, pihak berkuasa supaya mengambil tindakan kepada yang menyebabkan kematian anak saya.

“Saya difahamkan, anak saya mati dalam rusuhan. Saya nak sesiapa yang merancang dan berada di dalam rusuhan yang sebabkan berlakunya (kejadian ini)... saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Saksi inkues ke-23 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-15 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Terdahulu, Mohd Kassim memberitahu mahkamah bahawa mangsa yang juga anak kedua daripada lima beradik itu adalah seorang yang tidak banyak bercakap.

Selain itu, anaknya itu sering memberi bantuan kewangan kepada keluarga dan membantunya mengusahakan sawah serta kerap pulang ke kampung untuk bercuti.


HAMDAN: Macam mana hubungan dengan arwah?

MOHD KASSIM: Arwah tak banyak cakap tetapi Alhamdulillah... apabila kita cakap, dia akan dengar.

HAMDAN: Sikap adik-beradik lain terhadap arwah?

MOHD KASSIM: Dia bagus dengan adik-adik dia. Adik-adik sangat suka dengan dia.


Menjawab soalan lain Hamdan, saksi itu berkata, keluarganya amat terkesan dengan pemergian Muhammad Adib.

“Kami amat terasa dengan pemergian arwah... dari segi kegembiraan kami sekeluarga, bantuan kewangan dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Mohd Kassim berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa anaknya selepas menerima panggilan telefon daripada pegawai bomba antara 1.30 pagi dan 2 pagi, 27 November tahun lalu.

Katanya, dia dan isteri bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta dipandu oleh adik iparnya pada 2.30 pagi dan 3 pagi, hari sama.

“Kami tiba di hospital kira-kira 9.30 pagi dan kami dibawa melihat arwah. Saya tengok dia dalam keadaan teruk dan kritikal,” katanya.

Menurutnya, selepas Muhammad Adib dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), dia dan isteri diberi keistimewaan untuk melawat anaknya pada masa anaknya tidak dilawati doktor atau menjalani senaman.

Selain itu, bomba membantu menyediakan penginapan di hotel berhampiran IJN dan selepas itu penginapan suami isteri terbabit dibantu seorang individu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam pemerhati Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor, Mohd Kassim berkata, dia pernah membawa seorang rakan setugas melawat anaknya di dalam wad ICU.

Ketika itu katanya, rakan lain Muhammad Adib hanya melihat dari luar wad yang menempatkan anaknya itu.

“Dia kelihatan boleh terima... dia ada macam gembira,” katanya.

Pada akhir prosiding, Mohd Kassim dilihat terdiam seketika dan seakan menahan sebak apabila diminta berkongsi permintaan terakhir arwah di mahkamah itu.

Dia sebelum itu hadir di mahkamah jam 11.05 pagi ditemani abang Muhammad Adib, Muhammad Asyraf.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 4:14 PM