GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENJUAL alat penapis air dan udara berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila dirogol lelaki yang menyamar sebagai pembeli dalam kejadian di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri, semalam.

Mangsa, wanita berusia 43 tahun diugut dicederakan menggunakan pemutar skru dan pisau sekiranya enggan menurut kehendak suspek sepanjang detik cemas itu.

Bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai operator kilang berusia 33 tahun, kemudian ditahan polis hanya kira-kira 90 minit selepas mangsa membuat laporan polis sebaik dibebaskan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pada 12.06 tengah hari, semalam, mangsa yang sudah berkahwin dan ibu kepada tiga orang anak menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp dari seorang individu menggunakan nama seorang wanita.

Katanya, dalam laporan polis, mangsa dimaklumkan suspek berminat memasang alat penapis udara dan air serta memberitahu mangsa perlu menaiki kereta dipandu pegawai yang akan mengambilnya di dekat Horizon Hills, untuk dibawa ke pejabat bagi pemasangan produk.

“Apabila mangsa tiba di lokasi yang ditetapkan, dia berjumpa seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai di bawah seliaan ‘wanita’ berkenaan sebelum meminta mangsa menaiki kereta dipandunya, Perodua Myvi berwarna kuning.

“Sepanjang perjalanan, mangsa tidak pasti kawasan yang dilalui sebelum tiba-tiba lelaki itu memberhentikan kereta di tepi jalan sekitar Kampung Sungai Melayu dan memegang tangannya.

“Apabila mangsa cuba mengelak, suspek mengeluarkan sebilah pisau (cutter) lalu mengacukan ke muka mangsa, disebabkan bimbangkan keselamatannya, mangsa terpaksa mengikut kehendak suspek,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek memarahi mangsa, malah menggunakan pemutar skru serta mengacu ke muka mangsa untuk menakutkannya.

“Mangsa memberitahu suspek dia tidak tahan untuk membuang air kecil, namun suspek yang membawanya ke kawasan semak sentiasa mengawasinya kerana bimbang mangsa melarikan diri,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kira-kira 5 petang, suspek menghantar mangsa kembali ke tempat dia memarkir keretanya selepas mangsa menggesa supaya segera menghantarnya pulang, sebelum mangsa terus ke balai polis untuk membuat laporan.

Pada kira-kira 6.30 petang, katanya, suspek ditahan di parkir Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, selepas polis terserempak kereta dimaksudkan dan mendapati suspek di dalam kereta dan dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan semakan mendapati dia mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan pada 2012.

“Pemeriksaan dalam kereta menemui pemutar skru, dua pisau (cutter) sebelum merampasnya, manakala kunci Perodua Myvi dan kereta itu turut dirampas.

“Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Dzulkhairi berkata, mangsa tidak mengenali suspek dan ini adalah kali pertama dia berjumpa dengan suspek.

“Mangsa dihubungi suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp kerana suspek menyamar sebagai seorang wanita dan berminat untuk membeli peralatan penapis air,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkhairi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila dihubungi individu tidak dikenali.

Selepas membuat laporan polis, katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menjalani pemeriksaan pakar dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:41 PM