PEMBANTU rumah yang dikenali sebagai Darmi. FOTO ihsan polis
PEMBANTU rumah yang dikenali sebagai Darmi. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad


KETUA jururawat kerugian RM64,000 apabila wang tunai dan mata wang asing miliknya dilarikan pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Horizon Hills, Iskandar Puteri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian disedari mangsa apabila dihubungi anaknya yang memaklumkan pembantu rumah dikenali sebagai Darmi dipercayai melarikan diri.

Katanya, mangsa yang berada di Melaka bergegas pulang dan membuat pemeriksaan di bilik pembantu rumah serta mendapati barang peribadi wanita itu sudah tiada.

"Mangsa membuat pemeriksaan di biliknya dan mendapati wang tunai di laci hilang dipercayai dicuri suspek.

"Antara yang hilang ialah wang tunai RM8,000 selain mata wang asing. Keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM64,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, suspek sudah berkerja dengan mangsa kira-kira dua tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 12:09 AM