GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Akibat isteri tidak pulang ke rumah sejak awal bulan ini, seorang lelaki berang dan membakar kereta milik saudaranya di Taman Bukit Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pada pagi itu disedari oleh mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun yang ketika itu, berada di rumahnya.

Katanya, mangsa terdengar penggera keretanya berbunyi dan apabila keluar, dia mendapati kereta miliknya terbakar di bahagian tayar sebelah kiri.

"Mangsa cuba untuk memadamkan kebakaran tetapi gagal dan ia menyebabkan api merebak.

"Pada masa yang sama, pengadu meminta bantuan bomba. Api berjaya dipadamkan oleh bomba tetapi hampir keseluruhan kereta itu mengalami kerosakan akibat terbakar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mengenali suspek yang berusia 47 tahun itu.

"Berpandukan maklumat daripada mangsa, polis menahan suspek di tepi Jalan Indah 5/5, Taman Bukit Indah," katanyanya.

Katanya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku melakukan kesalahan itu kerana tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak balik rumah sejak 1 Mac lalu kerana perselisihan faham.

"Isteri suspek dipercayai berada di dalam rumah saudaranya semasa kejadian berlaku," katanya.

Dzulkhairi berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes seksyen 395/397 Kanun keseksaan.

"Saringan air kencing suspek dapati negatif," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 435 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 9:33 AM