KERETA Proton Waja dinaiki empat sekeluarga rosak dalam kemalangan di Batu 29 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Gombak, pagi tadi. FOTO Facebook
KERETA Proton Waja dinaiki empat sekeluarga rosak dalam kemalangan di Batu 29 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Gombak, pagi tadi. FOTO Facebook
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA beranak maut dalam kemalangan di Batu 29 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, di Gombak, hari ini.

Dalam kejadian 6.17 pagi itu, mangsa, Shamsor Kamar Jamberi, 43, dan anaknya, Nor Shahira, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala isterinya, Norzaimah Busu @ Zainudin, 36, serta anak mereka, Nor Shazwina berusia sembilan tahun cedera di bahagian kepala, tangan dan badan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Proton Waja yang dinaiki Shamsor bersama isteri dan dua anaknya dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax dipandu lelaki berusia 20 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku ketika pemandu pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Choh ke Rawang sebelum mendapati kereta Proton Waja memasuki laluannya.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit cuba mengelak, namun gagal menyebabkan ia melanggar bahagian tepi kanan kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di Gombak, hari ini.

Samsor berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu bersama seorang daripada penumpang kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang, manakala dua lagi penumpang kereta terbabit menerima rawatan hospital sama.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit hanya mengalami luka kecil di bahagian tangan.

“Kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian depan dan kanan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 1:38 PM