GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas dilanggar pacuan empat roda ketika menukar tayar kereta di Kilometer 8 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, kedua-dua mangsa dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux ketika menukar tayar kereta Proton Waja dinaiki mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pemandu kereta Proton Waja berusia 55 tahun bersama rakannya berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Skudai.

Katanya, tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kereta dinaiki mereka pecah dan pemandu memberhentikan kenderaan itu di lorong tengah jalan sebelum menukar tayar dibantu rakannya.

"Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun melalui jalan itu merempuh bahagian belakang Proton Waja berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Waja parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dan memandu dengan melulu atau membahayakan.

Katanya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali keluarga kedua-dua mangsa untuk berhubung dengan Inspektor Ong Jing Siong menerusi 011-16490168 atau Ibu Pejabat Balai Polis Johor Bahru Utara 07-5563122.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:25 AM