KEMALANGAN maut  membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
KEMALANGAN maut membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


TIGA maut manakala seorang parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kilometer 59 dekat Kampung Rhu Sepuluh, Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi tadi, nahas membabitkan PROTON Waja dengan Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa yang maut ialah pemandu PROTON Waja, Marina Deraman, 48, serta penumpang hadapan, Azizah Jamaludin, 48, dan penumpang belakang, Dewiyanti Demmagassing, 36.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Nor Ashimah Mohd Yasim, 36, parah.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton yang juga anggota polis di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kubang Badak, Terengganu, hanya cedera ringan di kepala dan kaki.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati PROTON Waja dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kampung Raja.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pikap dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu dipercayai sedang memotong sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Dua kenderaan itu bertembung di tengah jalan sebelum PROTON Waja itu terbabas lalu melanggar tiang elektrik di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, seorang daripada penumpang PROTON Waja tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu kereta yang bekerja di kolam ternakan udang Kampung Nyatuh dan penumpang hadapan PROTON Waja itu tersepit di dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu pacuan empat roda bersama seorang penumpang kenderaan itu yang cedera ringan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan,” katanya.

Zulkifli berkata, mayat mangsa juga dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 3:19 PM