Perodua Myvi dinaiki mangsa remuk akibat dirempuh Proton Perdana. FOTO NSTP.
Perodua Myvi dinaiki mangsa remuk akibat dirempuh Proton Perdana. FOTO NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 442 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian 10.09 malam, pelayan restoran yang juga penumpang Perodua Myvi, Liew Han Khai, 29, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan membabitkan Perodua Myvi dinaiki empat individu, Proton Perdana dipandu seorang anggota polis dan kenderaan Peronda PLUS jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi memberhentikan keretanya di belakang kenderaan peronda yang berada di lorong kecemasan.

“Pemandu Perodua Myvi dan penumpang hadapan keluar dari kenderaan, meninggalkan dua rakan mereka di tempat duduk penumpang belakang,” katanya.

Menurutnya, Proton Perdana berkenaan yang hilang kawalan kemudian dan merempuh Perodua Myvi menyebabkan dua penumpang di tempat duduk penumpang belakang tersepit.

“Seorang penumpang maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Proton Perdana juga parah dan dikejarkan ke hospital sama. Siasatan lanjut mendapati lokasi kejadian membabitkan laluan tiga lorong dan keadaan jalan basah selepas hujan,” katanya.

Samsor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 10:38 AM