GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


PENUNGGANG motosikal maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan langgar lari berdekatan stesen minyak di Sungai Choh, Gombak, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa Navamani Sannari, 39, ditemui di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal model Suzuki RG bersendirian dari arah Sungai Choh menghala ke Rawang.

“Apabila tiba di lokasi, mangsa dipercayai berlanggar dengan kenderaan yang belum dikenalpasti.

“Akibat kejadian, mangsa terjatuh dan parah di kepala,” katanya.

Samsol berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati motosikal dinaiki mangsa didapati mengalami kerosakan di bahagian hadapan dipercayai akibat perlanggaran.

“Bagaimanapun, pihak polis sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada saksi berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Gombak, Inspektor Dzulhafizie menerusi talian 013-7465469.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:15 AM