klia2. FOTO Arkib NSTP
klia2. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


AIRASIA tidak bertanggungjawab untuk mengutip cukai lapangan terbang (PSC) bagi Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Sehubungan itu, syarikat terbabit enggan mengutip caj tambahan penumpang daripada RM50 kepada RM73 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi pihak MASSB.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sehingga kini, AirAsia sudah membayar sejumlah RM663,051,008.52 dalam bentuk cukai lapangan terbang kepada MASSB.

Katanya, pada 1 Februari 2018, MASSB menaikkan cukai lapangan terbang yang dikenakan ke atas penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari klia2 sehingga RM73.

"Langkah menaikkan cukai lapangan terbang penumpang antarabangsa bukan ASEAN kepada RM73 daripada RM50 secara berkesan menyamakan PSC antara klia2 dan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, MASSB menuntut tunggakan berjumlah RM36.1 juta bagi PSC yang tidak dikutip daripada AirAsia X Bhd (AAX) dan anak syarikat AirAsia Group Bhd, AirAsia Bhd (AAB).

MASSB menyerahkan dua writ saman bagi menuntut RM26.71 juta dan RM9.39 juta masing-masing kepada AAX dan AAB bagi PSC yang tidak dikutip di klia2.

Riad berkata, antara sebab AirAsia enggan mengutip PSC tambahan adalah penumpang yang menggunakan klia2 tidak sepatutnya dikenakan kadar yang sama seperti penumpang di KLIA.

Beliau berkata, ia kerana klia2 adalah terminal kos rendah dengan tahap perkhidmatan yang jauh lebih rendah berbanding KLIA, iaitu terminal perkhidmatan penuh.

“AirAsia sebelum ini sudah membuat beberapa aduan rasmi berhubung dengan infrastruktur 'substandard' dan akses di klia2 yang memberi kesan negatif terhadap prestasi operasinya dan ketepatan masa.

“Antaranya termasuk keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan di klia2, kecacatan apron, tekanan tanah, banjir, menaikkan saluran paip bahan api, penutupan landasan ad hoc kerana keperluan pelapisan yang berterusan, penutup pintu gerbang dan kerosakan kepada pesawat," katanya.

Riad berkata, pihaknya dalam pelbagai situasi sudah cuba untuk membabitkan MASSB mengenai isu berkenaan.

"Malangnya, MASSB sebaliknya memutuskan untuk mengambil perkara itu secara terbuka dan membuat tindakan undang-undang berdasarkan tuntutan bahawa AirAsia akan membantah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 2:27 PM