PENUMPANG di klia2 perlu bayar caj sama dengan KLIA.
PENUMPANG di klia2 perlu bayar caj sama dengan KLIA.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Langkah untuk menyamakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal klia2 akan memastikan kedudukan yang adil dalam jangka panjang dan mengelak gangguan perniagaan antara syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal.

Langkah itu, yang diumumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 akan memastikan penumpang di KLIA dan lapangan terbang lain di Malaysia tidak memberi subsidi kepada klia2.

Sudah sepatutnya caj itu sama memandangkan PSC kini masih lagi tinggi di KLIA walaupun kemudahan dan perkhidmatan di klia2 setanding KLIA.

Oleh itu, keputusan yang dibuat MAVCOM pada Oktober tahun lalu, wajar diterima dan dihormati semua pihak.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan PSC untuk klia2, yang dibuka pada Mei 2014 pada tahap yang sama dengan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelumnya di KLIA dengan kemudahannya dianggap rendah.

Secara rasionalnya langkah menyamakan itu disebabkan klia2 sudah sebanding dengan KLIA dan menjadi lapangan terbang yang lebih hebat berbanding lapangan terbang lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Oleh itu, tidak masuk akal bagi klia2 dikenakan PSC yang lebih rendah berbanding lapangan terbang lain.

PSC untuk pelepasan antarabangsa meningkat kepada RM50 bagi klia2 dan RM73 untuk semua lapangan terbang lain.

Mulai Januari tahun depan, PSC antarabangsa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73 bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabangsa di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

MAVCOM bagaimanapun sedang berusaha untuk membolehkan PSC di lapangan terbang sekunder lebih rendah daripada KLIA dan klia2 namun usaha itu memerlukan masa dan dijangka mengambil masa tiga tahun.

Hujahnya sekarang ialah selagi PSC klia2 lebih rendah, PSC yang dibayar oleh penumpang dari lapangan terbang lain di Malaysia akan digunakan untuk penyelenggaraan klia2.

Ini bermakna penumpang memberi subsidi kepada lapangan terbang yang mempunyai kemudahan lebih baik yang mereka sendiri tidak gunakan.

Ini terjadi disebabkan caj PSC yang lebih rendah di klia2 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mengurusnya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Geneva, berulang kali menyuarakan sokongan untuk menyamakan PSC dengan mengatakan sebarang perbezaan akan menjurus kepada subsidi bersilang dengan penumpang KLIA membayar untuk perkhidmatan yang dinikmati oleh penumpang klia2.

Dari perspektif makro, persamaan caj PSC akan mengurangkan subsidi kerajaan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:20 AM