Nabil Basaruddin


KUMPULAN AirAsia membidas kembali kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perwakilan Penerbangan (BAR) sebagai tidak perlu dan lebih bersifat pentingkan diri.

Ia adalah susulan perselisihan yang berlaku di antara syarikat penerbangan tambang rendah itu dengan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat berkata, BAR tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian dengan mengambil kira kedudukannya untuk memberikan pendapat wajar dalam isu terbabit.

Katanya, hal berkenaan adalah disebabkan, syarikat penerbangan yang menganggotai BAR tidak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) serta tidak terjejas dengan keputusan mahkamah sebelum ini.

“BAR tidak sepatutnya memberikan kenyataan mahupun pendapat seperti itu kerana mereka tidak mewakili syarikat mahupun para penumpang penerbangan tambang rendah,” katanya dalam kenyataan di Sepang, hari ini.

BAR mendakwa, lembaga itu mewakili sebahagian besar syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia semalam mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan saman oleh MAHB atas tunggakan pembayaran cukai lapangan terbang.

Malah, BAR turut mengatakan lembaga itu turut berasa gembira kerana caj perkhidmatan penumpang (PSC) akhirnya diselaraskan ‘setelah sekian lama’.

Pada minggu lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa AirAsia dan AirAsia X harus membayar tunggakan PSC sebanyak RM40.6 juta yang tidak dikutip daripada penumpangnya kepada anak syarikat MAHB iaitu Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Susulan keputusan itu, Kumpulan AirAsia juga telah mengemukakan rayuan.

Mengulas lanjut, Riad berkata, terdapat tanggapan bahawa Kumpulan AirAsia enggan untuk membayar jumlah yang dituntut oleh MAHB.

“Harus ditekankan bahawa AirAsia tidak mengutip bayaran ini dari penumpang.

“Kerana kami percaya mereka tidak sepatutnya dibebankan dengan caj yang tidak adil bagi kualiti perkhidmatan lebih rendah di klia2 berbanding servis dan kemudahan di KLIA.

“MAHB menyaman AirAsia untuk mendapatkan jumlah yang tidak dikutip dari para penumpang ini,” katanya.

Riad berkata, sejak 2017 hingga Jun 2019, sebanyak RM1.4 bilion atau 75 peratus daripada jumlah bayaran yang dibuat oleh Kumpulan AirAsia kepada MAHB adalah membabitkan PSC.

“Namun, secara hakikatnya, PSC itu dibayar oleh para penumpang sendiri. Ini belum termasuk tambahan RM23 yang enggan dikutip oleh AirAsia bagi penumpang yang terbang ke destinasi luar dari ASEAN,” katanya.

Baki 25 peratus lagi bayaran kepada MAHB terdiri daripada caj lapangan terbang termasuk caj pendaratan, parkir, jambatan aero dan sewa fasiliti yang ditanggung Kumpulan AirAsia.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:11 PM