AIRASIA akan mula mengutip PSC bermula tengah malam ini. FOTO/NSTP
AIRASIA akan mula mengutip PSC bermula tengah malam ini. FOTO/NSTP
Bisnes HM


AIRASIA akan mula mengutip Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bermula tengah malam ini, sebagai bantahan berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Ini bermakna, syarikat penerbangan tambang rendah itu akan mula mengutip kadar tambahan RM23 bagi PSC dan perbezaan jumlah itu akan dipaparkan secara jelas dalam jumlah tambang sebagai ‘PSC (Dalam Bantahan)’.

PSC atau dikenali juga sebagai cukai lapangan terbang, adalah caj yang dikenakan oleh MAHB kepada penumpang yang berlepas menggunakan kemudahan lapangan terbang.

Ia dikutip oleh syarikat penerbangan seperti AirAsia bagi pihak pengendali lapangan terbang.

MAHB telah mengenakan kadar PSC baharu sebanyak RM73 kepada penumpang yang mengunakan klia2 ke destinasi di luar Asean sejak Julai 2018 iaitu kadar sama dikenakan untuk terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kadar ini lebih tinggi daripada kadar yang terdahulu iaitu RM50, dan AirAsia enggan mengutip jumlah tambahan sebanyak RM23 daripada penumpang untuk memastikan perjalanan udara kekal berpatutan untuk semua.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini telah menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran PSC kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengutip jumlah PSC penuh berjumlah RM73 namun, ia dilakukan sebagai satu bentuk bantahan.

“Kami akan memaparkan tambahan PSC sebanyak RM23 ini sebagai satu item khusus di dalam resit pembayaran agar 5.5 juta penumpang kami yang berlepas dari klia2 untuk ke destinasi luar daripada Asean setiap tahun dapat menilai sendiri sama ada jumlah yang mereka bayar itu setimpal dengan kemudahan di klia2 yang berkualiti rendah.

“Saya percaya ramai akan bersetuju ia tidak berbaloi untuk membayar caj yang sama bagi terminal berkenaan berbanding KLIA yang lebih mewah dan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:40 PM