Fardy Bungga


MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu terhadap Samsudin Yap Abdullah, 46.

Beliau turut mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun, selepas dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, Samsudin didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun pada jam 4.25 petang di sebuah pasar raya di Likas, dekat Kota Kinabalu, pada 25 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dinesh Raja.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Paul Chin berkata, anak guamnya mungkin melakukan kesalahan itu dalam keadaan kurang waras disebabkan masalah penagihan dadah.

Beliau turut memaklumkan mahkamah, ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan anak guamnya menyesali perbuatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:04 PM