GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


DUA warga Filipina yang memasuki negara ini secara haram masing-masing dipenjara empat dan lima bulan serta dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Kedua-dua tertuduh iaitu Jelmi Tentali, 32, dan Masig Arabinsun, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azreena Aziz.

Jelmi dituduh melakukan kesalahan itu pada 4.48 pagi 7 April lalu ketika bot pancing dinaikinya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Mengalum, Kota Kinabalu.

Manakala, Masig pula dituduh melakukan kesalahan sama pada 5.24 pagi di lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1953 yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali atau sebatan tidak lebih enam kali.

Azreena menetapkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya mewakili Maritim Malaysia Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 2:42 PM