TERTUDUH (dua dari kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
TERTUDUH (dua dari kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Fardy Bungga


PADAH anak derhaka. Itu gambaran sesuai kepada seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan, hari ini, selepas mengaku bersalah menetak kepala ibu kandungnya, bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Azreena Aziz terhadap tertuduh, Frandy Liaw, 32.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 25 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencederakan ibunya di rumah mereka di Kampung Ranau-Ranau, Sipitang, pada 25 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut fakta kes, pada masa dalam kejadian, tertuduh pulang ke rumah dalam keadaan mabuk pada jam 7.40 malam.

Ibu tertuduh berusia 56 tahun dikatakan sedang menyediakan makan malam untuk keluarga itu sebelum tertuduh tiba-tiba mengamuk dan memarahi kedua ibu bapanya.

Keadaan menjadi tidak terkawal dan tertuduh terus mengambil pisau sebelum mengugut untuk membunuh kedua ibu bapanya.

Kedua-dua mangsa yang ketakutan melarikan diri masuk ke dalam bilik, namun tertuduh terus mengejar dan menetak pintu bilik berkenaan.

Ibu bapa tertuduh kemudian cuba menenangkannya, namun tertuduh terus menetak kepala ibunya menggunakan pisau di hadapan bapanya.

Susulan kejadian, ibu tertuduh dikejarkan ke Hospital Sipitang untuk rawatan lanjut.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pegawai Pendakwa, Husna Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 3:43 PM