BUNGKUSAN syabu  yang cuba diseludup keluar ke New Zealand melalui KLIA.
BUNGKUSAN syabu yang cuba diseludup keluar ke New Zealand melalui KLIA.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Berjaya patahkan cubaan menyeludup dadah syabu gred A bernilai hampir RM5 juta ke Auckland, New Zealand.

Itu antara kejayaan anggota Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengesan kotak mengandungi dadah cuba diseludup keluar menggunakan khidmat penghantaran kurier udara.

Sumber berkata, pihak STRIKE AADK sebelum itu menerima maklumat berhubung satu bungkusan berisi dadah jenis syabu cuba diseludup ke New Zealand, Selasa lalu.

“Hasil risikan awal pasukan STRIKE Ibu Pejabat AADK, AADK Selangor dan AADK Daerah Sepang mendapati bungkusan dadah itu berada di dalam kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Maklumat berkenaan segera disalurkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, pihak kastam merampas dadah jenis syabu seberat lebih 24 kilogram (kg) yang diletakkan dalam kargo di KLIA.

“Semua dadah itu dianggarkan bernilai hampir RM5 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Sumber berkata, pasukan khas STRIKE AADK bersama AADK Sepang turut melakukan operasi mengesan aduan penagihan dadah berisiko tinggi sekitar Selangor.

Menurutnya, operasi bermula jam 9 malam itu disertai lapan pegawai dan lapan anggota AADK di sekitar Bandar Putra Perdana, Dengkil serta KLIA, Sepang.

“Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa menahan lima lelaki tempatan yang didapati positif syabu dan opiat. Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Jumaat lalu, JKDM merampas sebuah parcel antarabangsa mengandungi 24,630 pil ekstasi selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

Parcel yang dituntut di Poslaju Glenmarie, Shah Alam oleh suspek lelaki itu diikrarkan sebagai coklat dan dikirim dari Jerman.

Bagi kes kedua pula, pihak JKDM menahan dua lelaki warga tempatan berumur 33 dan 34 tahun ketika cuba mengambil parcel di Poslaju Balakong.

Susulan itu, anggota JKDM merampas sebuah parcel antarabangsa yang mengandungi 24,300 biji pil ekstasi yang diikrarkan sebagai coklat dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 11:16 AM