PEMERHATI sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli. FOTO ARKIB NSTP
PEMERHATI sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menganjurkan Sukan Sea 2027 kerana sememangnya sudah tiba giliran negara untuk menjadi tuan rumah temasya sukan dwi tahunan itu sejak kali terakhir pada 2017.

Seandainya Malaysia menolak menjadi tuan rumah pada tiga tahun lagi, ia dilihat mewujudkan suasana yang tidak begitu baik kerana objektif penganjuran Sukan Sea adalah untuk mengeratkan hubungan setiakawan dalam kalangan negara di Asia Tenggara.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, beliau melihat Malaysia sebenarnya tiada masalah untuk menganjurkan Sukan Sea 2027.

"Tak semua negara Asia Tenggara mampu anjurkan Sukan Sea terutama apabila tidak diberi tempoh agak panjang. Kitaran yang biasa anjurkan Sukan Sea adalah seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina serta Vietnam.

"Kita tak boleh harapkan negara kecil seperti Laos atau Brunei kerana mengikut sejarah mereka tidak kerap menganjurkannya.

"Jika ikut kepada giliran, saya rasa memang sudah tiba masanya untuk Malaysia menjadi tuan rumah selepas kali terakhir pada 2017.

"Bagi saya, sebenarnya kita tak ada masalah untuk anjurkan Sukan Sea. Kalau lihat daripada beberapa aspek seperti peruntukan kewangan, kita bukanlah negara yang terlalu teruk sehingga tak mampu anjurkan Sukan Sea," katanya ketika dihubungi.

Pekan mengakui pendiriannya itu berbeza berbanding penganjuran Sukan Komanwel 2026 apabila beliau sama sekali tidak bersetuju kerana ia membabitkan kos sangat tinggi selain tempoh persiapan cukup singkat.

"Untuk Sukan Komanwel, kita selaku tuan rumah perlu menguruskan atlet daripada berpuluh-puluh negara, tetapi tidak untuk Sukan Sea yang hanya membabitkan 11 negara sahaja.

"Sukan Komanwel adalah temasya sukan yang jauh lebih tinggi berbanding Sukan Sea. Saya fikir kita perlu beri plaftorm untuk atlet muda di Asia Tenggara membuktikan kemampuan masing-masing dengan beraksi di Sukan Sea," katanya.

Penganjuran temasya sukan dwi tahunan itu masih belum ada kata putus selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya masih dalam perbincangan bersama pemegang taruh dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri untuk fasa mendapatkan lebih banyak informasi bagi Kabinet melihat kesan penganjuran temasya itu.

Dua tahun lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan yang Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan Sea pada 2027 dalam satu mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) di Hanoi, Vietnam.

Ketika menjadi tuan rumah pada 2017, kontinjen negara muncul juara keseluruhan apabila meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:30 PM