Ahmad Hasbi


Nilai: Sepuluh guni kokain bernilai RM60.44 juta yang diikrarkan sebagai kacang soya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang, Selangor, Selasa lalu.

Difahamkan, kokain itu dibawa dari sebuah negara di Amerika Selatan dan ditransit ke negara ini sementara menunggu untuk dibawa ke sebuah negara di Asia Selatan.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

"Hasil kerjasama keselamatan bersama kerajaan Arab Saudi, JKDM menerima maklumat risikan daripada agensi berkenaan berkaitan sebuah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang, kira-kira jam 9.45 malam, 6 Jun lalu.

"Hasil maklumat tepat yang diperoleh, operasi ini berjaya. Ketika proses pembongkaran, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menemukan 10 beg guni mengandungi kokain seberat 302.2 kilogram (kg) bernilai RM60.44 juta," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini, hari ini.

Tambah beliau, sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengikrarkan ia sebagai kacang soya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut merampas 151.85kg dadah dalam dua lagi serbuan masing-masing di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 4 serta 6 Jun lalu.

"Anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Klang, jam 12.30 tengah hari, 4 Jun lalu.

"Pemeriksaan menemukan 25 paket ketamin seberat 25.3kg bernilai RM1.52 juta. Dua lelaki warga tempatan berusia 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Sindiket menyembunyikan dadah terbabit di dinding kontena sejuk beku yang berisi makanan laut. Ia tiba dari sebuah negara di Asia Selatan," katanya.

Tambah beliau, serbuan seterusnya dijalankan di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor, pada 6 Jun lalu.

"Kami menyita 15 kotak dan pemeriksaan menemukan 107 bungkusan plastik mengandungi ketamin seberat 126.55kg bernilai RM7.593 juta.

"Sindiket mengikrarkan kotak itu sebagai periuk dan pasu seramik. Ia diimport dari sebuah negara di Eropah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 5:34 PM
DATUK Zazuli Johan menunjukkan dadah yang dirampas hasil tiga serbuan di Pelabuhan Klang dan KLIA pada 4 serta 6 Jun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
DATUK Zazuli Johan menunjukkan dadah yang dirampas hasil tiga serbuan di Pelabuhan Klang dan KLIA pada 4 serta 6 Jun lalu. FOTO Ahmad Hasbi