Dadah jenis Ketamine bernilai RM1.2 juta dan seberat 20.14 kilogram yang disorok dalam 20 bungkus plastik aluminium foil berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Dadah jenis Ketamine bernilai RM1.2 juta dan seberat 20.14 kilogram yang disorok dalam 20 bungkus plastik aluminium foil berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad

Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah ketamin seberat 20.14 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata, kegiatan itu terbongkar hasil pemeriksaan melalui mesin pengimbas terhadap satu kotak yang diikrar sebagai 'pharmaceutical substances' dan mengesan 20 bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal disyaki ketamin pada 28 Ogos lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati parcel berkenaan dihantar dari sebuah negara Asia Tengah ke satu lokasi beralamat di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah berkenaan di dalam 'aluminium foil' dan menggunakan alamat palsu berdekatan dengan sebuah kolej swasta bagi mengaburi pihak berkuasa.

"JKDM tidak menolak kemungkinan dadah itu adalah untuk dijual dan diedarkan kepada pelajar kolej berkenaan," katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wong Pun Sian.

Menurutnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu dipercayai ia boleh digunakan seramai 100,700 penagih dadah.

Sazali berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat namun JKDM sedang menjalankan siasatan bagi mengesan dalang sindiket berkenaan.

"Sejak awal tahun ini sehingga 31 Ogos lalu, JKDM berjaya mencatatkan 74 kes rampasa dadah di KLIA dengan jumlah keseluruhan RM13.4 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 71 kes terdiri rampasan kurier, dua kes membabitkan penumpang, manakala satu kes untuk dieksport.

"Antara jenis dadah yang dirampas seperti methamphetamine, kokain, heroin, eramin, ekstasi dan ganja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 12:40 PM