Mohd Amin Jalil


Nilai: Sorok dadah bernilai RM6.6 juta dalam perkakasan dapur elektrik sebelum cuba dieksport ke luar negara.

Itu taktik digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa ketika cuba menghantar keluar dadah seberat 184 kilogram (kg) sebelum ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 16 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM bertindak membuat pemeriksaan terhadap 14 kotak perkakas elektrik yang mahu dieksport ke luar negara melalui perkhidmatan kargo di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

"Dagangan itu didapati diikrarkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik.

"Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada 14 kotak terbabit mengandungi 184 kg bungkusan teh mengandungi kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis syabu dianggarkan bernilai RM6.624 juta. "Kami percaya dadah itu mahu dipasarkan di negara Asia Pasifik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, di sini, tadi.

Abdul Latiff berkata, dua lelaki rakyat tempatan berusia 35 dan 43 tahun yang ketika itu berada bersama dadah berkenaan ditahan dan dibawa ke Pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat untuk siasatan lanjut.

"Pihak kami kemudian membuat serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar Nilai di sini, sebelum menahan dua lelaki warga tempatan berusia 42 dan 45 tahun kerana disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan dadah itu.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrarkan kotak berisi dadah itu sebagai alat perkakasan dapur elektrik iaitu barang dikategorikan sebagai kargo am.

"Malah melalui siasatan lanjut, sudah 11 kali sindiket berkenaan menjalankan kegiatan itu," katanya.

Menurut Abdul Latiff lagi, pihaknya sedang mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 3:16 PM
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir ketika sidang akhbar rampasan dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran RM6,624,000 di Kompleks Kargo Udara KLIA. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir ketika sidang akhbar rampasan dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran RM6,624,000 di Kompleks Kargo Udara KLIA. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN