KAREN (tiga dari kanan) bersama pelajar SMSFX selepas dinobatkan sebagai johan bagi kategori ‘School Children Folkdance’, semalam.
KAREN (tiga dari kanan) bersama pelajar SMSFX selepas dinobatkan sebagai johan bagi kategori ‘School Children Folkdance’, semalam.
Wartawan NSTP


SEKOLAH Menengah St Francis Xavier (SMSFX), Keningau yang mewakili Sabah dan Malaysia berjaya menjadi johan bagi kategori ‘School Children Folkdance’ di ‘Istanbul Harman Culture Festival & Competition Organisation’ di Istanbul, semalam.

Kumpulan menampilkan sembilan pelajar sebagai penari dan diketuai guru, Karen Dorothy Ho itu menawan hati juri pertandingan menerusi persembahan tarian kreatif suku kaum Murut dinamakan Tarian Mamaliab (Menampi).

Selain Malaysia, pertandingan berkenaan disertai empat negara lain iaitu Russia, Turki, Kazakhstan dan Bulgaria.

Karen berkata, sekolah berkenaan turut menyertai pertandingan bagi kategori ‘Eurasia Culture Folkdance Festival & Competition’ dan keputusannya akan diumumkan pada penghujung tahun ini selepas semua negara bertanding mempersembahkan persembahan mereka.

Beliau berkata, pihaknya mendapat jemputan daripada Harmanfolk Organisation yang mengadakan acara itu secara tahunan.

Menurutnya, pertandingan pertama diadakan di Sekolah Cagla Kolej untuk kategori ‘Istanbul Eurasia Culture Folkdance Festival & Competition’ pada 27 November lalu.

Katanya, pertandingan kedua bagi kategori ‘Istanbul Harman Culture Festival & Competition Organisation’ diadakan di Dewan Prof Dr Turkan Saylan Kultur Merkezi.

“Objektif utama kami menyertai festival itu adalah mencungkil bakat seni tari pelajar di samping memperkenalkan tarian tradisi Sabah khususnya, sekali gus mempromosi Malaysia di mata dunia.

“Di samping menari, pelajar dapat mempelajari tarian daripada negara terbabit seperti Turki, Kazakhstan, Russia dan Bulgaria,” katanya.

Karen berkata, mereka mengadakan persiapan selama sebulan termasuk latihan dan pengumpulan dana daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata, cabaran terbesar adalah pengumpulan dana kerana semua perbelanjaan adalah di bawah tanggungan masing-masing.

Menurutnya, pada saat akhir, barulah mereka mendapat sokongan dana daripada pelbagai pihak terutamanya pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Ketua Menteri dan Timbalannya.

“Selain itu, kami mendapat kerjasama padu daripada Lembaga Pengurusan Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penderma ikhlas individu seluruh Sabah.

“Walaupun begitu, dana masih tidak mencukupi dan ibu bapa terpaksa menanggung kos perbelanjaan anak sendiri berjumlah RM5,492 seorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 9:47 PM