KAREN
KAREN
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, Karen Kong, 37, pernah hilang punca pendapatan sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja pejabat termasuk menjual durian sejak berpindah ke negara itu lebih 11 tahun lalu.

Karen berkata, dia bergelut mencari sesuap nasi demi membina karier seni akibat kos hidup di Hong Kong terlalu mahal.

"Selama 11 tahun di sana, saya sudah melakukan pelbagai kerja pejabat demi mencari wang. Saya sanggup lakukan apa saja kerja asalkan ada pendapatan untuk sara diri dan membayar bil serta sewa rumah.

"Realiti menetap di sana memang pahit untuk ditelan, tapi saya gigihkan diri kerana benar-benar mahu mengembangkan karier nyanyian di Hong Kong. Jadi, saya hadap saja turun naik kehidupan di sana.

"Tahun lalu, saya mulakan perniagaan durian yang diimport dari Malaysia untuk menjana pendapatan impak daripada pandemik Covid-19. Dalam tempoh itu, memang tawaran persembahan tergendala dan kena cari sumber pendapatan lain," katanya.

Dalam pada itu, Karen juga bersyukur perniagaan kafe salon bersama suaminya warga Hong Kong iaitu Adam berjalan lancar sejak dibuka lebih tiga bulan lalu.

Walaupun berdepan penularan Covid-19, dia berharap perniagaan itu bertahan.

"Sejak dibuka, semuanya dipermudahkan tetapi berikutan peningkatan kes varian Omicron baru-baru ini, operasi premis terpaksa dihadkan. Jadi, ada sedikit kesukaran untuk kami buat masa sekarang.

"Saya turut memperkenalkan menu berkonsepkan laksa Malaysia di sana dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Orang Hong Kong memang sukakannya dan memuji keaslian laksa dari Malaysia," katanya.

Karen berkata, perjuangan lebih sedekad di sana kini cukup berbaloi apabila kerjaya seninya semakin diiktiraf.

Dia berharap rezeki buatnya akan terus mencurah dalam industri hiburan di Hong Kong.

"Saya ada menyertai program realiti King Maker 3 dan berjaya mendapat Top 3. Baru-baru ini saya juga menerima anugerah artis paling banyak meningkat dari sebuah stesen radio di sana.

"Saya turut berpeluang menghasilkan dua buah lagu. Memang lega dan rasa berbaloi sangat kerana kerja-keras saya kini semakin membuahkan hasil serta tidak sia-sia," katanya.

Pada 2007, Karen pernah popular dalam kalangan peminat tempatan selepas melancarkan sebuah album Melayu.

Lagunya Cinta Hello Kitty juga berjaya menaikkan namanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:09 PM