Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA pandang perkara ini (memberi rasuah) satu (kesalahan) yang serius. Walaupun kecil (jumlah), kita mahu didik masyarakat, tak mahu masyarakat kita rosak. Lain kali tak mahu buat lagi (memberi rasuah).”

Begitu teguran Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Kamarudin Kamsun terhadap dua tertuduh yang didakwa memberi rasuah sebanyak RM50 kepada penjawat awam.

Dalam kes berasingan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 terhadap Chye Elik, 26, yang mengaku bersalah memberi suapan RM50 kepada anggota polis peronda lebuhraya.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

Bagi tertuduh kedua, Tan Soo Lian, 33, pula mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM10,000 selepas wanita itu mengaku bersalah bagi tuduhan memberi suapan RM50 kepada anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Segamat sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atasnya yang didapati memandu kereta bercermin gelap.

Chye didakwa melakukan kesalahan di Kilometer 164, Lebuhraya Ayer Keroh-Pagoh, jam 5.30 petang, 31 Julai lalu, manakala Soo Lian didakwa melakukan kesalahan di Jalan Pee Kang Hai, Segamat, jam 11 malam, 14 Februari lalu.

CHYE (kiri) dan Soo Lian (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
CHYE (kiri) dan Soo Lian (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Chye yang bekerja sebagai jurujual jam tangan dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Soo Lian yang juga ibu kepada dua anak mengaku sedar dengan perbuatan dilakukan dan memohon denda paling rendah memandangkan ia kesalahan pertama dilakukannya.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dan turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:22 PM