Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Empat doktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan borang permohonan lesen vokasional (Jabatan Pengangkutan Jalan L8), tiga tahun lalu.

Tertuduh, Dr Ahmad Razi Othman, 58; Dr Phuah Chye Thuang, 62; Dr R Pathmanathan, 55; dan Dr Fong Hon Pin @ Poon Hon Pin, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Semua kesalahan didakwa dilakukan pada 7 Mac 2013.

Indra kemudiannya membenarkan Ahmad Razi, Pathmanathan dan Hon Pin diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh pada setiap bulan.

Chye Thuang pula, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tanpa perlu melapor diri di pejabat SPRM Ipoh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahidah Jalalluddin.

Manakala tertuduh diwakili barisan peguambela terdiri daripada Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid mewakili Dr Ahmad Razi, Manjeet (Dr R Pathmanathan), Meor Shaazizi Meor Shaari (Dr Fong Hon Pin) dan N Sakthivel (Dr Phuah).

Kes akan disebut semula pada 5 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 2:52 PM